COVID-19: Program saringan Prihatin Perkeso bermula hari in

KUALA LUMPUR, 27 April — Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas pekerja termasuk pekerja asing syarikat-syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula hari ini.
Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan saringan COVID-19 di bawah inisiatif itu diberikan secara percuma untuk pekerja yang majikannya berdaftar dengan Perkeso. “Saringan COVID-19 ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Dalam fasa pertama yang bermula hari ini, saringan COVID-19 disediakan oleh penyedia perkhidmatan yang telah dilantik oleh Perkeso.
“Keutamaan akan diberikan kepada pekerja yang bekerja di zon berisiko tinggi jangkitan COVID-19. Dalam fasa kedua yang akan dimaklumkan kelak, saringan disediakan melalui panel klinik PSP Perkeso,” menurut kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, perincian berhubung syarat dan prosedur untuk program saringan akan dipaparkan di portal PSP Perkeso https://prihatin.perkeso.gov.my, laman sesawang Perkeso www.perkeso.gov.my dan media sosial rasmi Perkeso. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal PSP Perkeso menggunakan nombor kad pengenalan pekerja atau Nombor Keselamatan Sosial Pekerja Asing (KSPA) bagi pekerja asing.
Semua maklumat termasuk perkembangan terkini mengenai PSP Perkeso akan diumumkan melalui saluran rasmi Perkeso termasuk laman web rasmi Perkeso, media sosial rasmi dan portal SeHAT https://sehat.perkeso.gov.my. — BERNAMA
Sumber : https://www.bernama.com/bm/am/news_covid-19.php?id=1836269

Tags:

Trackback from your site.