Bank Rakyat dan PRESMA bekerjasama bagi meningkatkan hubungan perniagaan
KUALA LUMPUR, 1 April — Kumpulan Bank Rakyat telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) bagi memulakan kerjasama menang-menang dalam hubungan perniagaan yang strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan keupayaan masing-masing, terutamanya semasa wabak COVID-19.
“Memandangkan perniagaan tempatan dalam industri makanan dan minuman telah mengecilkan operasi mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, MoU ini membolehkan bank mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menyokong kira-kira 4,000 anggota PRESMA dalam mendapatkan akses kepada Dana Bantuan Khas Bank Negara Malaysia serta Program Pembiayaan Khas Bank Rakyat (BizCare),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber : https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1827524
Selain itu, kerjasama tersebut juga akan membolehkan kedua-dua pihak membentuk hubungan perbankan yang erat, dengan itu meningkatkan promosi mengenai produk komersial dan runcit bank serta perkhidmatannya di kalangan anggota PRESMA.
“Inisiatif ini adalah sejajar dengan komitmen bank untuk membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif, yang akan menyumbang kepada proses pertumbuhan secara menyeluruh termasuk pembangunan bagi masyarakat, negara dan planet ini,” tambah Rosman.
Menurut beliau lagi, Bank Rakyat baru-baru ini telah melancarkan kempen BizCare, menawarkan kemudahan pembiayaan bernilai RM300 juta untuk membantu para usahawan mengekalkan perniagaan mereka dalam masa-masa yang mencabar.
Kempen selama enam bulan itu bermula dari 23 Mac hingga 30 Sept 2020.
— BERNAMA
Trackback from your site.